Saturday, February 21, 2009

Dasar/perjuagan PAS adalah untuk kemakmuran...

Anggapan Islam itu hanya untuk orang-orang Islam sahaja adalah anggapan yang amat salah dan bertentangan dengan keadaan serta realiti.
Islam yang sebenar adalah untuk semua makhluk, ia untuk manusia seluruhnya, untuk makhluk seluruhnya.
Firman Allah (mafhumnya): "Dan tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya." (Surah Saba' ayat 28)
Pada hujung ayat itu jelas Allah memberitahu, kebanyakan manusia, termasuk saudara, menganggap Islam hanya untuk orang Islam sahaja.
Tanggapan ini tidak benar kerana Islam adalah untuk semua makhluk.
Persoalan seumpama ini timbul di awal perkembangan Islam di Kota Mekah dahulu, di mana dakwah Nabi Muhammad s.a.w. hanya diimani dan diikuti oleh sebahagian kecil umat Arab sahaja, itu pun mereka dari golongan mustadh'afin (golongan kurang berdaya).
Bilangan pengikut Nabi Muhammad ketika itu amat kecil, terdiri dari golongan yang tidak ternama, kurang berdaya dan hamba sahaya.
Persoalan yang timbul ketika itu, bolehkah Muhammad mengubah masyarakat yang teguh berpegang dengan ajaran jahiliyah, adat resam yang ketat serta kukuh dengan ajaran menyembah berhala?
Namun Rasulullah s.a.w. dan orang-orang yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tetap yakin bahawa yang benar pasti akan menang dan yang batil pasti akan tumbang. >P>Firman Allah (mafhumnya): "Dan katakanlah: "Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah kebatilan; sesungguhnya perkara yang batil itu akan lenyap." (Surah Isra' ayat 81)
Perjuangan memartabatkan Islam adalah perjuangan yang benar, cuma pejuang-pejuangnya sahaja yang tidak bersungguh-sungguh.
Namun ada yang berjuang bersungguh-sungguh tetapi tidak mendapat sokongan ramai, sebab itu perjuangan Islam tidak dilihat (terserlah) kebenarannya.
Golongan yang bukan Islam perlu melihat kebaikan dalam pemerintahan Islam.
Malangnya di negara kita, mereka belum berpeluang melihatnya, sebaliknya ditambah dengan orang Islam (Umno-BN) sendiri yang sengaja memberikan gambaran buruk kepada Islam agar bukan Islam tidak menyokong PAS.
Jika orang Islam sendiri menerusi media-media yang dikuasainya memburuk-burukkan Islam, pemerintahan Islam dan undang-undang Islam, tentulah orang-orang kafir akan lebih menolaknya.
Bagi umat Islam yang sebenar, sudah sewajibnya mereka yakin dan percaya dengan kebaikan-kebaikan Islam. Ianya agama Allah. Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, tentulah agama-Nya penuh dengan kebaikan.
Antara perkara yang menyebabkan orang-orang kafir tidak mahu menerima Islam, adalah kerana umat Islam sendiri tidak menghormati agamanya.
Sekiranya dapat dilaksanakan hukum Islam yang syumul pastilah kebaikannya untuk semua manusia, Islam dan bukan Islam.
Firman Allah (mafhumnya): "Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka tidak berasa keberatan untuk menerima apa yang engkau telah putuskan (hukumkan), dan mereka menerima Islam sepenuhnya." (Surah an-Nisa' ayat 65)
Ayat ini mengisyaratkan kepada kebaikan hukuman yang diputuskan oleh Rasul berteraskan daripada al-Quranul Karim, di mana jika dilaksanakan hukum itu dengan baik, orang-orang kafir tidak keberatan menerimanya, setelah mereka membanding-bandingkan antara hukum-hukum ciptaan manusia dengan hukum-hukum Islam yang diturunkan oleh Allah SWT.
Antara contoh yang boleh disebutkan, berlaku dalam sejarah, setelah tentera Tartar/Mongol menyerang dan mengalahkan umat Islam di Baghdad dan sekitarnya, mereka pada mulanya mahu memaksa umat Islam menganut agama penjajah.
Tetapi setelah mereka melihat dan mengamati kebaikan Islam, serta melihat keunikan dan kestabilan hukum-hukumnya, melihat akhlak orang-orang Islam, akhirnya tentera Mongol seluruhnya memeluk agama Islam.
Cita-cita PAS adalah jelas, ianya adalah untuk perjuangan jangka panjang, pasti akan tiba masanya Allah SWT akan menolong orang-orang yang memartabatkan agama-Nya.
Itulah keyakinan yang pasti akan berhasil jua akhirnya.

HANYA ISLAM, AGAMA DISISI ALLAH...

Bagi orang-orang yang percaya kepada al-Qurannul Karim sebagai Kitab Allah, kitab hidayah yang menerangi jalan yang benar, pasti akan meyakini sepertimana firman Allah (mafhumnya): "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah adalah Islam…" (Surah Ali-Imran, ayat 19)
Daripada sepotong ayat ini pun sudah dapat diyakini bahawa Islam adalah satu-satunya agama Allah. Kerana ayat tersebut adalah yang 'muhkamaat' iaitu jelas dan nyata.
Jika Allah menyebut dengan jelas seperti ayat di atas, maka Islamlah satu-satunya agama yang benar daripada dahulu, sekarang dan selama-lamanya.
Firman Allah (mafhumnya): "Dan barangsiapa yang mencari agama selain daripada Islam, maka tidak sama sekali akan diterima (oleh Allah) daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi." (Surah Ali-Imran, ayat 85)
Kisah turunnya ayat ini menurut Akrimah disebabkan oleh orang-orang Yahudi berdepan dengan Rasulullah s.a.w., mengingkari kerasulan baginda dengan hujah Nabi mereka Nabi Ibrahim a.s. adalah ikutan mereka dan Nabi Ibrahim a.s. adalah beragama Islam dengan kata mereka (orang Yahudi) "nahnu muslimun" yang bererti kami juga beragama Islam.
Rasulullah s.a.w. berhujah kepada mereka, "Jika kamu beragama Islam, Allah mewajibkan ke atas orang Islam menunaikan haji, apakah kamu menunaikan haji di Baitullah?"
Jawab mereka, "Kami tidak diwajibkan haji itu."
Lalu Allah mewahyukan wahyu di atas kepada Nabi Muhammad s.a.w., lalu Nabi Muhammad s.a.w. membacakan wahyu tersebut kepada mereka.
Dalam ayat lain, Allah berfirman (mafhumnya): "Katakanlah (wahai Muhammad): "Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak dan Yaakub dan keturunannya, dan apa yang diturunkan kepada Nabi-nabi, Musa dan Isa dan sekalian Nabi-nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan (Nabi) seseorang pun antara mereka dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)." (Surah Ali-Imran, ayat 84)
Ungkapan 'muslimun' pada akhir ayat 84 ini, mengandungi pengertian yang amat mendalam. Berdasarkan tafsir yang muktabar, muslimun bererti beriman dan menyerah diri kepada Allah, ia juga bermaksud mentaati dan mematuhi apa sahaja hukum yang datang daripada Allah.
Ungkapan itu juga bererti agama kami adalah Islam, berpandukan kepada ayat 19 dan ayat 85, Surah ali-Imran.
Ia juga selaras dengan firman Allah dalam sepotong ayat (mafhumnya): "…dan Aku (Allah) reda Islam menjadi agama kamu…" (Surah al-Maidah, ayat 3)
Orang-orang yang beriman bahawa Allah sebagai tuhannya dan beramal dengan tuntutan Imannya daripada dahulu hingga sekarang dan ke hari-hari yang akan datang, diistilahkan sebagai muslimin atau muslimun.
Ia merujuk kepada perihal orang-orang itu telah menyerah diri kepada Allah.
Firman Allah (mafhumnya): "...Dan Dialah (Allah) yang menamakan kamu sebagai muslimun (orang-orang Islam) semenjak dahulu dan di dalam al-Quran ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu..." (Surah al-Hajj, ayat 78)
Oleh kerana itu Islam adalah satu-satunya agama Allah yang benar, agama tunggal dari dahulu hingga akhirat.
Akan tetapi telah dan sedang berlaku, Islam hanya tinggal pada namanya sahaja, orang-orang mengaku Islam tetapi tidak mengamalkan Islam, negara yang mendakwa sebagai negara Islam, tetapi amalan-amalan di dalamnya tidak berpandu kepada Islam.
Ada manusia yang diberi kuasa memerintah, mereka adalah Islam, beragama Islam, menggelarkan mereka muslimin, tetapi tidak melaksanakan hukum-hukum Islam.
Inilah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam beberapa hadisnya (mafhumnya): "Akan datang suatu ketika pada akhir zaman, Islam tidak tinggal kepada mereka melainkan namanya sahaja dan al-Quran tidak tinggal kepada mereka melainkan tulisannya sahaja..."
Istilah Islam yang merujuk kepada agama Allah yang sebenar dalam Quran amat banyak, sekurang-kurangnya disebut 10 kali seperti dalam Surah Ali-Imran (ayat 19, 67 dan 85), al-Maidah (ayat 3), al-An'am (ayat 125), az-Zumar (ayat 22), al-Hujurat (ayat 17), at-Taubah (ayat 74), Yusuf (ayat 101), as-Saff (ayat 7) dan ayat-ayat lain.
Semuanya membuktikan Allah menyebut berulang-ulang kali bahawa agama yang satu hanyalah Islam.
Adapun perkataan yang disebut Allah secara jelas seperti muslimin, muslimat atau muslimun, disebut amat banyak disebutkan dalam al-Quran, tidak kurang daripada 43 kali dalam 43 ayat yang berlainan.
Kesimpulannya, agama Allah hanyalah satu. Kerana itulah wajib dipertahankan keaslian agama ini. Jangan ada orang menokok atau menambah, meminda atau mengubah, kelak akan dimurkai Allah. Wallahu a'lam.

..menyelongkar maksud dan tujuan TAAT dan SYURA...

Ketika Ratu Balqis menerima sepucuk surat daripada Raja Sulaiman a.s, ratu itu telah bermesyuarat terlebih dahulu dengan mengumpulkan pendapat berhubung pendirian yang harus ditegakkan untuk mendepani seruan Tauhid oleh raja Bani Israel tersebut.

Ratu Balqis menyedari akan perihal kekuatan bala tentera Raja Sulaiman. Ratu telah mendengar kekuasaan dan kekuatan Raja Sulaiman itu bukan calang-calang. Bani Israel itu pernah ditakluk Jalut. Kemudian dibangkitkan Talut untuk mendepani Jalut.
Setelah itu, Jalut terbunuh oleh salah seorang tentera bernama Daud. Dan dengan kerana itulah Daud akhirnya diangkat sebagai raja yang bijaksana. Kini, anaknya Sulaiman telah mengambil takhta dan kedudukannya sebagai raja Bani Israel yang baru.
Ratu Balqis pernah mendengar kehebatan Daud. Baginda boleh melembutkan besi keras dengan tangannya. Tetapi, Daud juga gemar bersuluk sendirian menyanyikan lagu pujian kepada Tuhan dengan kitab Zabur (Mazmur).
Suaranya yang gemersik itu menyebabkan haiwan dan burung-burung yang berterbangan menjadi jinak, terpaku lalu ikut sama bertasbih mengelilingi Daud tatkala gurindam lagu pujian kemesraan kepada Tuhan itu didendangkan.
Pada zaman anak Daud, iaitu Sulaiman, burung-burung itulah yang menjadi bala tentera anak-anaknya. Sulaiman memahami jalan bahasa haiwan.
Dan, tadi Ratu Balqis telah menerima sepucuk surat daripada burung Hud Hud yang kini diangkat sebagai 'wartawan ' baru bagi mewakili Raja Sulaiman itu.
Ratu mula bermesyuarat . Lalu bermesyuaratlah baginda sang ratu bersama-sama para pembesarnya guna mencari keputusan dan mencapai kata sepakat berhubung isi kandungan surat Raja Sulaiman itu.
"Aku penyembah matahari walhal Sulaiman menyembah Tuhan yang tidak kelihatan, tak dapat dicapai pancaindera," si ratu berbisik sendirian sambil menunggu kehadiran para pembesar. "Agama kedua-dua kerajaan ini berbeza."
Balqis melihat surat Sulaiman itu berulangkali. Pada awal-awal surat itu tertulis nama Allah, Tuhan Raja Sulaiman yang bersifat pemurah, penyayang dan mengasihani.
"Apakah Sulaiman itu juga bersifat penyayang seperti Tuhannya?" hatinya berbunga dan dia tersenyum sendirian.
Para pembesar sudah bersedia mendengarkan titahnya. Tetapi, baginda ratu bukanlah watak yang suka menitahkan hal-hal yang tidak masuk akal dan baginda tidak akan melangkah lebih jauh membuat keputusan tanpa mengambilkira pendapat para pembesarnya.
"Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): 'Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani,
"Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran ugama Allah).
Raja perempuan itu berkata lagi: "Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku tentang perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya."
Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan.
Raja perempuan itu berkata: "Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.
"Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita." [Surah an-Naml: ayat 30 - 35]
Sikap Sang Ratu patut diteladani Baginda sang ratu mengutamakan pandangan pembesar, pemimpin kaum dan rakyat jelata sebelum menitahkan sesuatu. Daulat sang ratu terletak di atas restu, suara, pendapat, pandangan rakyat yang mewakili jiwa, ruh serta pemikiran bangsa.
Baginda tidaklah sesuka hati membuat keputusan tanpa merujuk orang-orang di sekelilingnya terlebih dahulu. Sikap dan pendirian ini sangat Islami dan cenderung ke arah pendirian Tauhid walaupun baginda sang ratu bukannya memeluk agama Tauhid. Allah s.w.t merakam pendirian Balqis ini sebagai contoh teladan kepada raja-raja dan pemerintah.
Kedua, dalam fikiran ratu sudah tersemat andaian dan sepekulasi bahawa raja-raja zalim akan selalu merosakkan negeri lalu menyebabkan orang yang paling mulia menjadi hina-dina.
Dengan penuh hati-hati, walaupun diasak oleh para pembesar untuk berperang, maka Balqis tetap menolak saranan supaya kerajaannya berperang dengan kerajaan Sulaiman. Baginda bimbang nasib rakyat jelata yang lebih banyak terkorban.
Lalu baginda ratu memilih jalan perdamaian dengan mengirimkan hadiah sebagai cara melihat tindak-tanduk Raja Sulaiman apabila melihatkan hadiah-hadiahnya yang serba mewah dan barang perhiasan yang berkilauan bak mutiara itu.
Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): "Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah).
"Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba' dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan."
Giliran Raja Sulaiman bermesyuarat. Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?"
Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah."
Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah."
Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya): "Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, agar kita melihat adakah ia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya itu) atau ia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang demikian."
Maka ketika ia datang mengadap, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: Serupa inikah singahsanamu?" Ia menjawab: "Boleh jadi inilah dia; dan kami telah diberikan ilmu pengetahuan sebelum berlakunya (mukjizat) ini, dan kami pula adalah tetap berserah diri (menjunjung perintah Allah)."
Dan ia dihalangi (daripada memeluk Islam pada masa yang lalu): apa yang ia pernah menyembahnya (dari benda-benda) yang lain dari Allah; sesungguhnya adalah ia (pada masa itu) dari puak yang kafir.
(Setelah itu) dikatakan kepadanya: "Dipersilakan masuk ke dalam istana ini." Maka ketika ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: "Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca". (Mendengar yang demikian), Balqis berdoa: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam." [An-Naml: 36 - 44]
Rendah diri Sulaiman a.s. Apabila ada kalangan rakyatnya yang berjaya pindahkan singgahsana Ratu Balqis itu, Raja Sulaiman memuji dan bersyukur kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya kerana diberikan rakyat yang gagah perkasa dan taat pula pada perintahnya.
Raja Sulaiman berikhtiar keras menimbulkan rasa kagum dalam hati pihak yang didakwahnya agar baginda ratu itu berasa tertarik kepada agama Tauhid.
Antaranya ialah dengan cara mengambil singgahsana Ratu Balqis itu. Singgahsana lambang kepada kekuasaan seseorang raja. Apabila singgahsana raja boleh dialihkan, bererti pihak yang mengalihkan singgahsana itu tentunya memiliki kekuasaan yang lebih, mengatasi kerajaan yang lain.
Paling penting, baik Raja Sulaiman dan Ratu Balqis, kedua-duanya melakukan musyawarah terbuka bersama para pembesar serta rakyat untuk mencari buah fikiran yang berguna dalam menangani masalah kenegaraan dan urusan dakwah.
Taat terangkat selepas musyawarah. Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi sentiasa Melihat.
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [Surah an-Nisa': ayat 58 - 59]
Dalam konteks pemerintahan Islam, ketaatan kepada pemerintah, raja-raja itu didahului oleh musyawarah bersama rakyat. Maka, dalam konteks Alam Melayu yang mana Melayu itu beragama Islam, maka perihal ketaatan kepada raja-raja itu mesti dirujuk kepada musyawarah terlebih dahulu.
Raja-raja, pembesar dan pemerintah perlu bermesyuarat mengambil pandangan, membuka ruang terbuka untuk mengambil undi rakyat jika mahu menaikkan pemimpin atau menjatuhkan mereka.
Demikianlah juga.. jika ada pemerintah yang lompat partinya, maka hendaklah rakyat yang terlebih dahulu diminta kata putus persetujuannya. Pendek kata, apa-apa pun projek kenegaraan, menaikkan dan menjatuhkan pemerintahan dan lompat parti, perlulah mendapatkan pandangan umum rakyat terlebih dahulu sebelum berbicara lanjut mengenai ketaatan.
Ini kerana, menurut surah an-Nisa', hal prinsip ketaatan (ayat 59) DIDAHULUI nas yang terkait dengan prinsip penyerahan urusan amanah pemerintahan kepada semua rakyat (ayat 58). Wallahu'alam..
...past. fr. sekolah pemikiran...

Monday, February 16, 2009

..tersebutlah kisah.....

Perlahan-lahan, Tun Nila Utama masuk mengadap dan bersembah di hadapan Baginda Sultan selesai perguruan ilmu persilatannya. Ketika diajukan pertanyaan sama ada beliau mahu beristeri atau tidak, maka Tun Nila pun berkata, "Anak kepada sekalian dato' menteri itu bukanlah perempuan, tetapi betina semata-mata.."

"Tun Nila! Apa bezanya antara perempuan dengan betina?" Sultan Alam Syah Bana, Raja bagi kerajaan Pura Cendana mula murka. Seumur hidupnya, barangkali baru kali ini baginda mendengarkan ungkapan biadap sebegitu yang jelas menghina kaum wanita di negerinya.
"Perempuan.. memelihara maruah," kata Tun Nila. "Tetapi betina.. menjualnya.."
Oleh kerana kejujuran mempertahan pendapatnya itu, beliau dititah keluar negeri untuk akhirnya kembali semula mempersembah seorang wanita bermaruah di hadapan baginda sultan dan pembesar negeri tersebut. Akhir daripada pencarian, Tun Nila memang berjaya membawa pulang seorang perempuan.
Kalau tidak ditafsirkan betul-betul, nanti kaum wanita marah pula. Tentu mereka tertanya-tanya, apakah bezanya antara lelaki dan jantan. Maka jawapannya tetaplah sama, iaitu lelaki memelihara maruah serta jantan itu telah menjualnya.
Jantan dan betina adalah ungkapan yang menggambarkan bahawa manusia itu bukan lagi makhluk bergelar khalifah yang seluruh kehidupannya dibungkus hias dan didandan oleh sifat-sifat kemanusiaan.
Arakian.. rupa-rupanya, sekalian bangsawan dan pembesar di negeri itu ada masalah besar dengan kaum wanita. Menteri Nikah Kahwin pun sanggup menceroboh rumah Puspawangi saat Tun Nila Utama mencari Musang Berjanggut.
"Apa hukumnya, seorang lelaki menceroboh masuk ke rumah wanita ketika ketiadaan suaminya?" tanya Puspawangi kepada Menteri Nikah Kahwin.
"Oh, itu salah besar.."
"Jadi.. kanda pun salah jugalah,"
balas Puspawangi.
"Eh, salah jugalah.. tapi tak apa-apa. Sebabnya, undang-undang dalam negeri ini kanda yang pegang. Itu semua boleh padam.."
Ertinya, kelelakian kaum Adam pun boleh runtuh ke taraf jantan apabila mereka telah menjual maruahnya. Sama sahaja keadaannya. Tanpa maruah, kewanitaan dan kelelakian telah tercabut daripada jiwa mereka.
Cuma.. dalam fahaman Melayu, ungkapan 'anak jantan' itu masih lagi bermaksud mulia kerana diungkap perkataan itu untuk menunjukkan darjah keperwiraan mereka untuk membela hak dan keadilan pusaka, tanahair dan maruah. Maka, dalam konteks penggunaan lafaz ini, 'anak jantan' memang memiliki konotasi yang sangat baik.
Sementara itu, kepenggunaan lafaz 'anak jantan' pada zaman purbakala juga boleh merujuk kepada keadaan tidak bermaruah jikalau 'anak jantan' itu takut merampas dan mengganggu isteri orang, membuat onar serata kampung termasuk mengintai anak dara mandi di tepi sungai. Ini semua gejala-gejala tidak bermaruah, tetapi dianggap tidak jantan jika mereka tak berani melakukannya.
Pada zaman sekarang, seseorang lelaki mungkin dianggap tidak jantan jika tidak pandai merempit, tidak menghisap rokok, berjudi, membuat tatu, memakai anting-anting, menindik hidung dan main perempuan. Walhal, ini semua adalah gejala yang bakal meruntuhkan anak bangsa. Dan, kebanyakan 'anak jantan' yang berani melakukan hal ini secara terbuka adalah anak kepada orang kenamaan, VVIP yang tidak boleh disentuh oleh polis kerana bapa mereka adalah orang terhormat.
Demikianlah.. seorang menteri dianggap tidak bermaruah apabila sanggup menggunakan wangnya untuk membeli kaum wanita, bercakap tidak serupa bikin, tidak jujur dengan undang-undang negara yang digubal melalui lidah, jiwa dan fikirannya. Cakap tidak serupa bikin, memadam kesalahan dengan memperalat perundangan adalah sikap tidak bermaruah menteri.
Makna maruah...Dalam bahasa Arab, mar'atun ertinya perempuan. Daripada segi ini, hubungan kaum perempuan dengan maruah itu jauh lebih akrab berbanding kaum lelaki. Barangkali, kita boleh membuat kesimpulan awal bahawa maruah sesuatu bangsa atau maruah agama itu terletak kepada maruah kaum wanita bagi sesuatu bangsa dan agama itu.
Misalnya, jika wanita Melayu itu rosak, maka rosaklah maruah Melayu. Atau, jika wanita muslimah itu rosak, maka maruah seluruh umat Islam itu pun tercalarlah sudah. Namun, haruslah diingat juga bahawa..jika wanita bagi sesuatu bangsa itu sudah rosak, maka kaum lelaki bagi sesuatu bangsa itu mestilah segera bertanggungjawab dan memainkan peranannya!
Ini kerana.. ada banyak kejadian yang menunjukkan bahawa kaum lelaki itu jugalah yang telah menyebabkan kaum wanitanya telah tergadai maruah. Kalau wanita itu menjadi penari di sebuah kelab, maka pemilik kelab itu kemungkinannya seorang lelaki juga! Mereka inilah yang telah memperalatkan kaum wanita itu tadi dengan segala janji manis.
Maka, apakah usahanya untuk kita kembali menyedarkan umat ini berhubung persoalan maruah?
Tidak dapat tidak.. memang kita perlu berusaha keras mengkaji, menelaah dan jujur bermuhasabah mengenai kelemahan diri lalu berusaha memperbaikinya daripada semasa ke semasa.
Sementara itu, Kamus Dewan menafsirkan maruah sebagai kehormatan (diri), dan harga diri. Dalam pengertian yang kedua, kamus itu juga menunjukkan pertalian hubungan maruah dengan sifat laki-laki, keberanian dan kegagahan.
Kita boleh juga menyatakan bahawa orang yang bermaruah itu adalah mereka yang berani mempertahan pendirian, tak mudah goyah prinsip perjuangan dan tidak boleh dijualbeli pendiriannya melalui tawaran wang, pangkat, kekuasaan dan wanita yang cantik.
Wanita itu bagaikan cermin....Sementara itu, mir'aatun dalam bahasa Arab bermaksud cermin. Jadi, isteri bagaikan cermin di mana gambaran wajah suami terpantul dalam cermin tersebut. Atau, kita boleh juga menyebutkan bahawa kaum wanita itu bagaikan cermin yang akan memantulkan gambaran sebenar kaum lelaki dalam dirinya.
Jika cermin (wanita) itu gelap, berhabuk dan berdebu, maka kaum lelaki itulah yang sepatutnya bertanggungjawab untuk membasuh dan menggilapnya supaya imej gambaran dan bayangan dirinya akan kembali terang dan cerah di dalam cermin itu. Kaum wanita itu cerminan bagi diri kaum lelaki.
Kalau cermin itu retak dan pecah, maka gambaran lelaki itu sendiri akan turut menjadi cacat. Cermin yang akan cacat dan telah dirosakkan inilah yang akan menebarkan segala benih sengketa di dunia akibat kaum lelaki sudah tidak lagi ambil kisah, tidak peduli dan bersikap tidak bertanggungjawab memelihara, memuliharanya daripada semasa ke semasa.
###
Sultan Alam Syah Bana akhirnya turut berasa malu berikutan kejadian dirinya tertangkap sebagai penceroboh dalam rumah anaknya sendiri tatkala cuba berbuat serong terhadap menantu perempuannya.
Pemerintahan yang bermaruah......"Yang sebenarnya, ayahanda ingin mengetahui apa perbezaan antara perempuan dengan betina. Sekarang barulah ayahanda tahu," kata baginda ketika mula menginsafi kesilapannya. Di sini dapat dilihat betapa sulitnya untuk kita berusaha memulihkan sebuah pemerintahan yang bermaruah.
Kita mungkin boleh memimpin rakyat bawahan dengan mengendong seribu satu macam inti pengajaran guna mengasuh pemikiran darihal pengertian maruah. Tapi, bagaimana cara mengasuh penguasa agar mereka dapat mengusung pemerintahan bermaruah? Hal ini memerlukan kesungguhan yang mendalam, keberanian, kejujuran bertindak dan keikhlasan mempertahan pendirian.
Syahadan wal arakian..
Bermaruahkah sesebuah pemerintahan itu, jika seorang wanita yang lemah; Altantuya of Mongolia diletupkan tubuhnya oleh bom C4? Walhal bom C4 daripada masyarakat tentera yang dibeli melalui duit, cukai rakyat itu boleh dimanfaatkan oleh komando kita yang terlatih guna meletupkan Parlimen Knesset Zionis Israel, di mana dalam parlimen itulah Zionis Israel telah membuat keputusan bedebah, iaitu memperkosa hak rakyat Palestin selama ini.
Tepuk dahi tanya pemikiran. Kepada Najib, mantan Menteri Pertahanan, bak kata Nabil Raja Lawak.. lu pikirlah sendiri.. (Heii.. geramnya..)

sumber ambilan : Harakahdaily

Sunday, February 15, 2009

Ketuanan Melayu : nak tahu...?

Ketuanan Melayu ialah konsep perkauman yang mendakwa bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia . Orang Cina dan India di Malaysia yang dianggap sebagai pendatang (yang dibawa masuk oleh British) disifatkan terhutang budi kepada orang Melayu kerana kesanggupan dan kesediaan orang Melayu menerima mereka sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia sebagai prasyarat British memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Sebagai timbal balik kerana kesanggupan dan kesediaan apa yang disifatkan sebagai pengorbanan orang Melayu itu, perlembagaan memberi peruntukan khas kepada orang Melayu dalam bentuk hak istimewa dan ini dimaktubkan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia). Persetujuan quid pro quo atau saling beri-memberi ini biasanya dipanggil kontrak sosial. Konsep Ketuanan Melayu ini sering kali dijadikan retorik ahli politik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang berpengaruh semenjak 50 tahun Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) mencapai kemerdekaannya dari British sebagai usaha meraih sokongan orang Melayu walaupun pada hakikatnya tidak ramai orang Melayu yang arif tentang konsep atau fahaman ini.
Walaupun retorik ini wujud sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, frasa ketuanan Melayu tidak menjadi satu perkara yang disebut ramai hingga ke awal tahun 2000-an. Kebanyakan tentangan konsep ini adalah daripada parti-parti yang tidak berdasarkan kaum Melayu, seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP), tetapi sebelum kemerdekaan orang Baba dan Nyonya juga menentang konsep ini. Konsep keulungan kaum Melayu mendapat perhatian dalam tahun 1940-an apabila orang Melayu bersatu untuk menentang penubuhan Malayan Union dan kemudian, berjuang untuk kemerdekaan. Semasa tahun 60-an, terdapat usaha yang cukup besar untuk mencabar ketuanan Melayu, diketuai oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) dari Singapura — yang merupakan negeri Malaysia dari 1963 hingga 1965 — dan DAP selepas pemisahan Singapura. Walaupun begitu, sebahagian Perlembagaan berkaitan ketuanan Melayu berakar umbi selepas rusuhan kaum Mei 13, 1969 yang terjadi akibat kempen pilihan raya yang menjadikan hak-hak orang bukan Melayu dan ketuanan Melayu sebagai isu tumpuan. Tempoh ini juga menyaksikan kebangkitan ultra yang mendesak agar kerajaan parti tunggal diketuai UMNO, dan pertambahan penekanan bahawa orang Melayu merupakan "orang asal" Malaysia — iaitu hanya orang Melayu boleh dianggap penduduk asal Malaysia.
Rusuhan kaum mengakibatkan perubahan besar dalam pendekatan kerajaan kepada isu perkauman, dan menyebabkan pengenalan Dasar Ekonomi Baru iaitu dasar tindakan pengesahan yang secara agresif menyebelahi kaum Melayu. Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang juga diperkenalkan pada tahun 1970, memberikan penekanan kepada asimilasi orang bukan Melayu ke dalam kaum Melayu. Tetapi dalam tahun 1990-an, Perdana Menteri Mahathir bin Mohamad menolak pendekatan ini, dengan dasar Bangsa Malaysia yang menekankan bangsa Malaysia dan bukan kaum Melayu sebagai identiti negara. Dalam tahun 2000-an, ahli-ahli politik mula menekankan ketuanan Melayu semula, dan membidas secara keras menteri kerajaan yang mempersoalkan kontrak sosial.

Sebelum kemerdekaan
Nasionalisme Melayu Awal
Semangat nasionalisme Melayu sebagai pertubuhan politik tidak wujud sebelum Perang Dunia II. Konsep ketuanan Melayu tidak relevan; kaum Cina dan India tidak anggap diri mereka sebagai orang Malaya. Kajian "British Permanent Under-Secretary of State for the Colonies" pada awal 1930-an mendapati bahawa kebanyakan kaum bukan Melayu tidak menganggap Malaya sebagai tanah air mereka

Perasaan bukan Melayu
Pada 11 Mei 2008, bekas Presiden Partai Gerakan Lim Keng Yaik menyifatkan UMNO memberi layanan pengemis kepada partai-partai komponen Barisan Nasional bukan Melayu seperti MCA, MIC dan Gerakan. Lim berpendapat bahawa walaupun Hak Keistimewaan Orang Melayu dinyatakan dalam Perlembagaan Malaysia, namun hak-hak asasi Orang Bukan Melayu harus dihormati.

Kegagalan
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zahid Ibrahim berpendapat bahawa model Ketuanan Melayu telah gagal dan mengakibatkan pembaziran sumber, tenaga dan masa dan juga telah dipesongkan daripada isu sebenar yang dihadapi negara. Zaid Ibrahim turut mengkritik dasar yang berasaskan kaum.

Saturday, February 14, 2009

Derhaka ke...? tolong sikit......

Kami bukan penderhaka. Kami sama sekali tidak berniat untuk menentang Raja. Kami sekadar berpendapat bahawa keputusan yang diambil Raja di Perak tidak bertepatan mengikut lunas undang-undang.
Kami berbeza, kerana kami berpendapat bahawa jalan terbaik untuk membentuk sesebuah kerajaan, ialah melalui pilihan raya, bukan dengan cara membeli dan mengumpan wakil rakyat.
Adalah tidak adil sesebuah kerajaan dibentuk, bukan dengan mandat rakyat, tetapi dengan mandat rasuah, sama ada dalam bentuk wang, jawatan atau penarikan balik kes-kes jenayah yang sedang dihadapkan ke mahkamah.
Kami berbeza dengan Raja kerana kami berpendapat, jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak, ialah dengan memulangkan mandat semula, kepada rakyat melalui pilihan raya umum negeri.
Kami hanya meminta, jika pun hendak dijatuhkan sesebuah kerajaan negeri, biarlah dengan cara yang demokratik, iaitu dengan membuat undi tidak percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri.
Bukan dengan menyuruh Menteri Besar atau anggota Exco meletakkan jawatan atas alasan parti yang memerintah sudah kehilangan majoriti di dewan.
Inilah pendapat dan pendirian pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, yang dipilih secara adil dan demokratik dalam Pilihan Raya Umum ke 12, 8 Mac 2008 lepas.
Pakatan Rakyat bukan sebuah entiti yang kecil. Ia adalah suatu “force” yang didukung oleh jutaan rakyat Malaysia, terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.
Kuasa rakyat ini adalah suatu kuasa yang besar, membentuk sebilangan kumpulan yang besar, sehingga berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Parlimen.
Bilangan yang besar ini dibuktikan dengan, menempatkan suara mereka sebanyak 82 kerusi Parlimen dan beratus-ratus kerusi Dewan Undangan Negeri.
Suara rakyat yang besar ini juga mewakili negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Derhaka Umno Terengganu bukan Pas Perak
Justeru dalam menghadapi krisis di Perak, Menteri Besar Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak keseorangan.
Penyingkiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau, tidak dipersetujui banyak pihak dalam negara, yang tidak gembira dengan keputusan Raja.
Pakatan Rakyat tidak bersetuju dengan keputusan Raja, manakala, Umno sudah tentu menyokong, kerana mereka mendapat kembali kerajaan negeri dengan cara yang amat mudah.
Apa pun tuduhan yang dilemparkan kepada pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat, salahkah rakyat punyai pandangan berbeza dengan Raja?
Jika peristiwa di Perak menyebabkan kebanyakan rakyat mempunyai persepsi bahawa Raja membuat kesilapan, apakah kewujudan persepsi ini menyalahi undang-undang?
Jalan mudah untuk media pengampu BN menjerat Nizar ialah dengan, menuduhnya menderhaka kepada Tuanku.
Namun Umno/BN jangan lupa, “sederhaka” manapun Nizar, jika ia berlaku, jauh lebih bersopan dari sekumpulan pemimpin Umno Terengganu yang “membinatangkan” Raja, dalam demonstrasi di Istana Terengganu, Mac 2008 yang lalu!
Sultan Terengganu dihina dan dilemparkan dengan kata-kata nista oleh orang-orang Umno, kerana mereka mahukan Dato' Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar.
Orang-orang Pas, KeADILan dan DAP di Perak tidak pernah sama sekali mencera Sultan Perak sebagaimana dilakukan orang-orang Umno di Terengganu.
Soal derhaka tidak timbul sama sekali. Jika ada pihak yang menghasut Raja di Perak, baginda harus mengetahui, memahami dan membuat pertimbangan sewajarnya, jika baginda mahu menjatuhkan hukuman derhaka kepada Nizar.
Kes di Terengganu menunjukkan bahawa yang paling derhaka ialah Umno. Bukan Pas! Umno sanggup buat demo dan membawa kain pemidang yang jelas “membinatangkan” Raja!
Bukankah tindakan pemimpin Umno itu suatu tindakan derhaka? Mana penderhaka itu semua? Mengapa mereka dibebaskan tanpa tindakan?
Apakah mereka boleh derhaka dan menyanggah Raja sesuka hati kerana mereka Umno? Apakah kerana Umno “dilahirkan” di Istana Johor pada 11 Mei 1946, maka segala tindakan mereka terhadap Raja, semuanya boleh “dipejamkan” begitu sahaja?
Apakah kerana Umno terlalu sinonim dengan Raja, maka Raja harus dilihat memihak kepada Umno?
Harus diingat, berlaku dalam sejarah politik negara, yang “memaki hamun” Raja dan melucutkan hak kekebalan Raja pada tahun 1993 ialah orang-orang dan pemimpin Umno.
Umno yang mewujudkan mahkamah untuk membicarakan perilaku Raja.
Kalau boleh “diflashback” atau dimainkan kembali pita siaran televisyen dan akhbar ketika itu, nescaya seluruh rakyat Malaysia akan memahami betapa hinanya Raja di mata Umno.
Siapa yang tampil membela Raja ketika itu? Tanyalah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. Yang membela Raja ketika itu ialah Pas dan Semangat 46.
Nizar bukan Hang Jebat
Dalam kes Perak, Nizar tidak menderhaka. Nizar bukannya Hang Jebat. Nizar pun tidak mahu menjadi Hang Jebat, seperti hikayat Melayu purba.
Hulubalang Hang Jebat “mengamuk” kerana membela sahabatnya, Laksamana Hang Tuah yang menjadi mangsa fitnah. Di Perak, Nizar adalah mangsa ketidakadilan.
Menurut sejarah tragedi purba kala tersebut berlaku, akibat ketidakadilan titah Sultan Mansur Shah yang dinasihatkan secara salah oleh memanda pembesar istana di sekeliling baginda, yang mempunyai kepentingan tertentu.
Lantaran fitnah tersebut, lalu dititahkan agar Hang Tuah dibunuh. Hikayat lagenda difilemkan dengan lakonan Tan Sri P. Ramlee dan ditayangkan berulang kali dikaca televisyen.
Secara moralnya, rakyat boleh mempelajari daripada ceritera-ceritera ini, berlaku dalam sejarah, ada kalanya orang-orang istana sama ada Raja, Bendahara atau sebagainya, membuat keputusan yang silap.
Sehingga wujud dalam seloka Melayu ungkapan “Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah”.
Dalam kes Perak Nizar tidak keseorangan. Di belakangnya ada berjuta-juta rakyat Malaysia yang menyokong Pakatan Rakyat, amat kecewa dengan keputusan yang diambil Sultan Perak.
Rakyat dari kalangan rakyat berbilang kaum menyokong pendirian diambil Nizar, untuk tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar.
Bilangan rakyat yang marah dan kecewa dengan “rampasan kuasa” di Perak bukannya sedikit.
Sehingga ada yang menzahirkan secara terbuka kritikan terhadap Raja. Sekaligus kritikan-kritikan tersebut jika dipaparkan, hanya akan menjejaskan kredibiliti dan integriti Raja.
Akibat daripada persepsi ketidakadilan yang berlaku di Perak, ianya telah mewujudkan pemahaman bahawa “credibility Malay Rulers at stake”, apabila mereka dianggap berpihak kepada Umno.
Raja-Raja Melayu seharusnya “above political parties” dan mengelak wujudnya persepsi di kalangan rakyat bahawa mereka pro atau menjadi alat Umno-BN. Hanya dengan cara sahaja itu kredibiliti dan integriti Raja dapat dipulihkan.
Jalan terbaik untuk memulihkan keadaan di Perak ialah dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri dan diadakan pilihan raya negeri semula.
Nescaya rakyat akan menerima keputusan pilihan raya dengan baik walau mana-mana pihak yang menang sekalipun, asalkan ianya dijalankan secara adil dan demokratik....diambil dari tulisan Sdra.Mohd Rashidi Hasa.

SIAPA SEBENARNYA PENDERHAKA MELAYU...

Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis atau pengawal istana digaji untuk melindungi dan menjaga tahta, namun tiada satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Walau seberapa banyak peluru bedil atau peluru meriam sekalipun digunakan, namun tidak satu pun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat. Jika kehendak rakyat jelata dimakbulkan Allah, maka (berlakulah) perpindahan takhta dari istana ke muzium seni dan budaya" - Titah Sultan Azlan Shah ketika dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-undang, di Majlis Konvokesyen, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 29 Jun 1980.

Peristiwa 1. Pakatan Rakyat bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak dan Barisan Nasional (BN) jika terus melantik Menteri Besar BN yang baru, kata pengerusi DAP Karpal Singh dalam laporan berita Bernama. Beliau berkata Pakatan tidak mempunyai pilihan bagi mengambil tindakan itu kerana pelucutan jawatan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin oleh Sultan Azlan Shah jelas di luar batas kuasa dalam peruntukan Artikel 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri.
"Dalam undang-undang, keputusan Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah undang-undang. Saya meminta Sultan menghentikan dan berhenti daripada melantik seorang Menteri Besar BN baru dan ahli majlis mesyuarat selepas tengah hari ini," katanya di satu sidang akhbar. Karpal Singh berkata tindakan ini tidak boleh, dalam apa jua cara, dilihat sebagai ancaman kepada Sultan tetapi merupakan peringatan tegas bahawa pemerintah diperlukan untuk bertindak di dalam lingkungan had dan batas Undang-undang Tubuh Negeri Perak yang merupakan undang-undang tertinggi di negeri itu.

Peristiwa 2. Standard Chartered Bank Malaysia Berhad menyaman Dipertuan Besar Negeri Sembilan sebelum ini, Allahyarham Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman.

Peristiwa 3. Fasal 38 (4) Perlembagaan Persekutuan untuk mengurangkan imuniti raja-raja Melayu pada tahun 1993, Allahyarham Tun Ghafar Baba telah mengemukakan usul khas di Parlimen pada 10 Disember 1993 memberitahu dewan bahawa seorang rakyat Malaysia bernama Douglas Gomez telah dicederakan di Istana Bukit Serene oleh Sultan Johor pada 30 November 1992.

Peristiwa 4. Beberapa menteri kabinet mendedahkan skandal pemilikan harta raja-raja. Antaranya membabitkan pemberian konsesi balak ribuan hektar kepada raja tertentu. Didedahkan juga bahawa tiap-tiap sultan telah ditawarkan 100,000 unit saham Telekom dan berbagai lagi. Filem-filem Melayu lama pula yang mengisahkan tentang kezaliman dan kebodohan raja-raja Melayu diulang tayang di kaca tv.

Peristiwa 5. Ahli Parlimen Arau waktu itu, Datuk Seri Shahidan Kassim menjadi juara bila mendedahkan keburukan keluarga Sultan Johor yang bertanggungjawab melakukan 23 kes penganiayaan ke atas rakyat jelata yang tidak berdaya termasuk memukul, mencedera dan merogol semenjak dari tahun 1972. Semua Sultan didedahkan keburukkan mereka.

Peristiwa 6. Apabila pada 29 April 1993 Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Ibrahim Ali menabal Tengku Ibrahim Indra Petra di Ketereh dalam majlis anjuran Yayasan Kemiskinan Kelantan yang dipengerusikan Annuar bagi mengantikan Sultan Ismail Petra oleh kerana menurut mereka Sultan itu bukan waris yang sah.

Peristiwa 7. Program Semarak di Lubok Jong, Pasir Mas mencetuskan perarakan yang dipimpin Tan Sri Mohamed Yaacob ke istana menyerah memorandum mendesak Sultan Kelantan turun takhta. Buatlah penilaian secara rasional siapa penderhaka kepada Kesultanan Melayu dan orang yang terlibat dalam peristiwa di atas mendokong parti politik mana. Harus diingat janganlah Kesultanan Melayu diheret dalam kancah politik yang berat sebelah. Kesultanan Melayu harus diletakkan di tengah tengah sebagai pendamai bukan pemuas nafsu sebelah pihak. Kembalikan Kedaulatan Kesultanan Melayu.
(sumber : http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/letterdetail.php?id=380)

- KEPADA MELAYU UMNO TERUTAMANYA YANG TAK RETI/PAHAM SEJARAH, ANDA DINASIHATKAN SUPAYA PERGI USRAH/TAMRIM DAN PENGAJIAN....KEBODOHAN DAN KETOLOLAN ANDA SANGAT-SANGAT MEMALUKAN BANGSA SENDIRI...JADILAH ORANG YANG BERSEKOLAH -