Monday, January 5, 2009

Menghidupkan agama bermula dengan keghairahan, emosi dan kecelikan iman. Jika tidak kerana Imam Hussein terpenggal kepalanya di Karbala, tidak akan ada Zainab yang dengan penuh keradangan, emosi dan kesungguhan iman tampil ke hadapan untuk mempertahankan agama, langsung menghidupkannya.


Kira-kira apa yang dmaksudkan pada perenggan di atas ialah hubungan dengan Tuhan ialah hubungan dengan Kekasih, kerana kita sangat mencintai-Nya maka kita dengan penuh emosi menjadi buta, (atau mungkin sahaja celik, bergantung pada orangnya) dengan cara itu sahaja kita dapat menghidupkan agama. Hubungan �buta� Zainab itu, atau (untuk sesetengah orang): pengorbanan �membabi buta� Imam Hussein itulah yang telah mencelikkan mata manusia dan sekaligus menghidupkan agama.
Agama tidak bermula semata-mata dengan akal (meski akal sungguh bermakna), atau dengan buku (termasuk novel-novel saya) atau tidak juga dengan kajian (katalah Abdolkarim Soroush). Agama memang bermula dengan agama, dan ayat-ayat al-Quran (meski ada yang merasakan ia tertempel tiada guna) ketika kita memilih untuk menjawab segala persoalan duniawi dan masyarakat yang sedang kita geluti.
Benar, kita juga bermula dengan akal, buku, dan kajian (pada tempatnya) dan kerana kita ghairah kepada agama dan kecintaan kita pula amat tebal sehingga kita menjadi �asyik dan buta�, kita memilih untuk menjadi manusia beriman. Kerana �makin buta� kita, makin kita menjadi manusia bertakwa, meniti malam yang gelap dengan penuh hati-hati yakni meniti hidup dengan penuh kajian, berfikir, mencerna dan sentiasa dipandui iman (juga al-Quran yang menurut sesetengah orang tiada guna dan hanya tempelan sahaja).
Tidak mungkin kita mempertanyakan kejujuran Imam Hussein menyerah diri terkorban di Karbala begitu. Tidak mungkin juga atau barangkali tidak munasabah sama sekali kita tanyakan apakah Zainab al-Kubra sebenarnya jujur dan apakah perhitungan akliahnya sihat atau tidak (kerana mereka memang memilih menempuh jalan pengorbanan meski terpancung kepala)
Menjadi atau mengaku filsuf memang boleh dan memang kerja mudah, apatah lagi jika dia memang seorang wartawan atau penulis pojok yang perasan. Mudahnya kegiatan ini seperti mudahnya meminta seorang sasterawan seksi menulis prakata untuk buku falsafahnya dan menyalak sesekali atau sesekala dengan siri kuliah yang mempersoalkan kredibiliti kenabian dan merombak konsep ketuhanan.
Oh jika perlu lagi, boleh pula berhujah di kedai-kedai kopi, mungkin juga restoran Cina (untuk menunjukkan diri toleran) sepanjang hari dan detik. Akan terasa amat autentik sekali. Tambah-tambah lagi jika ada seorang dua mahasiswa yang alpa dan percaya mati-mati kerana telah lali (atau tuli) mendengarkan kehebatannya memperkenalkan konsep-konsep yang amat asing dari dunia dan budayanya sendiri.
Kita sememangnya diminta 'memplagiat' ayat Quran, bukan itu sahaja, kita diminta menjadi al-Quran, berperibadi dan berakhlak umpama al-Quran, dan mencipta generasi al-Quran, dan sebagai orang yang adil kita akan sentiasa mengutip petikan, nama pengarang atau tokoh dan buku rujukan yang munasabah seraya �buta oleh keimanan�. Memang sepanjang jalan keilmuan ada tokoh yang kesesatan jalan, tak kita nafikan ada yang baik dan murni sekali sehingga kita berdoa mereka diberi ganjaran pahala oleh Tuhan.
Kerana dengan itu, kita dapat berlaku adil, dan dengan itu hujah kita menjadi lebih punya authority kerana apa lagi yang lebih punya authority kalau tidak Tuhan dan Nabi, juga orang yang memilih untuk mengikut Tuhan dan Nabi?
Hati-hatilah, terutama jika filsuf palsu ini memang dikenali suka memutar-belitkan dunia (malah ayat al-Quran!) dengan kata-kata dan pesan sia-sia, atau memang kita tahu dia merujuk dan bersandar kepada manusia-manusia bukan ahlinya. Sang filsuf ini tepu propaganda tetapi tidak ada kedalaman pemahaman terhadap al-Quran.
Masakan tidak! Fakta kes: Saat mereka merujuk ayat al-Quran "Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan terang. Sekiranya Allah mengkehendaki, nescaya kami dijadikan-Nya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu. (Al-Maidah:48)".
Ayat ini telah terpilih (setelah digodam, dirujuk al-Quran bila perlu) sebagai asas pluralisme agama bahawa semua agama itu murni dan baik dan boleh masuk syurga. Wah bukan sedikit orang terpesona dengan idea John Hick ini (misalan) ramai sekali mahasiswa muda yang sedang mencari terlongo dan terbelalak biji mata mendengar konsep ini, fuhh sangka mereka, sungguh autentik sekali!
Dan tidak ramai pun peduli untuk membaca ayat itu sepenuhnya, kerana sebelum ayat di atas, sudah ada ayat "Dan Kami telah Turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa Kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu."
Dia, juga mereka, terlupa ketika menyamakan semua agama itu betul, bahawa Tuhan (Tuhan yang sama menurunkan ayat tadi) menurunkan pula ayat lain: "Mereka berkata Allah Yang Pemurah itu mempunyai putera. Katakanlah sungguh telah kalian kemukakan sebuah penghinaan yang dahsyat! Hampir-hampir langit terbelah kerananya, bumi membelah dan gunung-ganang berhamburan (Maryam: 88-90)."
Kerana mereka terlalu berpaksikan akal, mereka tidak dapat menafsirkan hakikat, kita berlindung dari syaitan yang direjam. Lihatlah betapa ceteknya kefahaman filsuf ini!
Sesungguhnya dia mencipta-cipta kocak air longkang hanyir yang ditepuk-tepuk, lalu terpercik ke muka sendiri. Sungguh dia tidak berhati-hati, apakah sama orang yang mengetahui dan tidak mengetahui al-Quran?
Ramai pembaca dan pengekornya tidak pun sedar kerana dia sedang asyik bermain air lendir, lalu sepertinya juga, mereka menjejerkan sekian nama ahli falsafah dengan penuh kejahilan sambil menjaja dirinya, diri mereka, sebagai pandai agama kerana mahu melihat zaman dengan akal dan ingin menggunakan semua medan publik untuk mencapai cita-cita muluknya. Begitu hebat hingga ramai yang belum habis belajar terpesona dengan hujah lidahnya.
Entah apa bobroknya, dan dimana sialnya, semua filsuf sesat ini harus ada juak-juak bedebah yang akan melolong menjualkan kesesatan. Walau bagaimana hodoh sekalipun wacana penulis itu dalam pojoknya, pastilah ada pengampu yang melulu.
Jika dia tidak berfikir, dia lama-kelamaan akan menjadi Yazid dalam medan kehidupan. Sampai begitu sekali percaya bapanya (oh filsuf ini ada bapa!) lalu memberitahu dunia, 'anaknya', si filsuf tadi berpaksi oleh rasionaliti dan masyarakat harus merestui. Meskipun itu hakikatnya dia sedang memusuhi Hakikat demi mempertahankan keyakinan bejat dan bobroknya, di hujung kelak, dia mahu dikenang dengan �kemewahan�, monyet-monyet yang menari di istana, perasan menjadi pemikir dan pembebas, dan sehimpunan pengikut yang sesat akan menolongnya bertambah sesat. Persis Yazid!
Disitulah dia bermula, dan dia tidak sedar, seperti Yazid (juga 'bapa'nya) bahawa analisa bebalnya, yang menentang Tuhan itu sentiasa benar dan dia percaya bahawa dia benar, dia cipta konsep-konsep tersebut untuk memuja dirinya dan konsep sesatnya itu. Wah, bahkan Yazid sendiri tidak sampai mengaku analisanya transendental!
Bagaimana dia tidak dianggap filsuf sesat, jika dia menjual dirinya sebagai ahli fikir yang bijak, yang telah bermukim di seberang, menyenaraikan judul buku yang dibacanya, atau mengatur siri kuliah dan ceramah yang juga didanai musuh agamanya, aduh�celaka itu!
Daripada seorang penulis pintar mengenai dunia haraki, daripada seorang wartawan yang tajam mata penanya, dia menjadi filsuf sesat yang tidak sedarkan kesesatannya - apatah lagi jika dia memang tidak mengenal dirinya!
Saya mengasihaninya. Dari seorang penulis yang faham Islam mendadak menjadi penentang dan musuh agama, demi kerana ingin mendapat perhatian yang sedikit, perhatian bumi. Sehingga dia terlupakan perhatian langit.
* Dia tidak punya apa-apa, justeru dia memang terpaksa berhempas pulas memaksakan orang mempercayainya kerana dia hanya berminat untuk meneruskan jajaan falsafah sesatnya, dia hanya berminat dengan puji puja sekumpulan remaja yang belum sempurna memahami latar belakangnya. Oleh kerana dia memutar belitkan, suka atau benci, akan ada yang terpengaruh dengannya. Dia sangat rimas dengan dalil-dalil Quran, ya, seperti syaitan yang takut dan melolong kepanasan tatkala dibacakan ayat-ayat Tuhan.

No comments:

Post a Comment