Wednesday, January 7, 2009

Menurut pengajian biologi, terdapat dua jenis monyet (Anthropoidea): monyet Dunia Baru dan monyet Dunia Lama. Secara asas, monyet Dunia Lama berhidung pesek sementara monyet Dunia Baru berhidung tinggi.

Susunan gigi monyet Dunia Lama sama seperti manusia, berbeza dengan susunan gigi monyet Dunia Baru yang mempunyai jumlah gigi lebih untuk memakan dan �menelan� habuan lebih besar dari sekadar buah-buahan untuk keperluan harian seperti amalan monyet Dunia Lama. Ekor monyet Dunia Baru juga kuat dan dianggap menjadi tangan ketiga untuk memperkukuhkan pautan pada dahan pokok.
Istilah monyet telah digunakan secara metaforikal terhadap para penulis blog di Internet: �Tidak ada undang-undang di alam siber kecuali undang-undang rimba. Jadi tindakan harus diambil supaya �monyet-monyet� lain takut dan mengambil iktibar daripadanya.�
Namun, secara metaforikal juga, monyet di alam siber adalah monyet Dunia Lama yang cuma makan-makan buah-buahan dan tidak ada ekor yang boleh digunakan untuk berpaut di dahan pokok.
Mereka tidak seperti sesetengah monyet Dunia Baru di alam sahih yang makan daging saudara sendiri dan mempunyai ekor kuat yang boleh digunakan untuk bergayut teguh pada dahan besar.
Ada ketika manusia disamakan dengan haiwan bagi memperlihatkan sifat kehaiwanan yang terdapat pada diri seseorang manusia. Penulis Yahya Ismail pernah menulis cerpen berjudul �Maharaja Beruk� (Dewan Sastera). Cerpennya dikatakan satu allegori, mencadangkan seorang maharaja beruk yang hidup di tengah-tengah kuasa politik negara.
Hal ini menimbulkan kemarahan tidak terperi orang tertentu dalam kerajaan terhadap penulis dan Dewan Bahasa dan Pustaka, selaku penerbit majalah yang menyiarkan cerpen berkenaan.
Cerpen Pak Ya mungkin tidak dibaca oleh ramai, tetapi ia mendefinisaikan semula makna kebebasan sastera � bahawa karyawan boleh mengkritik beruk dan monyet yang menghuni rimba tetapi dilarang sama sekali mengkritik raja beruk atau raja monyet serta monyet-monyet Dunia Baru lain yang bergayut dan bersekongkol dengan raja beruk atau raja monyet tersebut.
Dalam dunia sahih sudah tentu tidak ada undang-undang tertulis mengenai larangan berkenaan. Tetapi undang-undang rimba terus diguna-pakai oleh monyet Dunia Baru bagi menekan dan menakut-nakutkan monyet Dunia Lama.
Mereka lebih berkuasa dan ada ekor yang cukup kuat untuk bergayut pada dahan-dahan pokok. Malah sifat kemonyetan mereka adalah empat kali ganda sifat kemonyetan manusia yang mereka anggap monyet. Ini kerana apabila kita meluruskan jari telunjuk untuk merujuk kepada sesuatu, empat jari lain bengkok dan merujuk kepada diri sendiri.
Namun dalam dunia politik manusia, penglabelan monyet ke atas seseorang ataupun sekumpulan orang membawa maksud berlainan. Ia bukan sahaja membawa pengertian ketandusan modal dan idea, tetapi memperlihatkan sifat keanak-anakan yang suka mengejek dengan ejekan itu dan ini apabila tidak ada cara lain lagi untuk memenangi sesuatu pertelingkahan atau perlawanan.
Dalam hal ini kita tidak perlu menyentuh tentang kematangan. Mana ada kanak-kanak yang matang. Barangkali Umno perlu menubuhkan satu lagi sayap. Mungkin Umno mahu menamakan sayap baru ini sebagai Pergerakan Kanak-Kanak Umno Malaysia atau Kanak-Kanak Umno. Kita boleh meramalkan siapa yang bakal menjadi Ketuanya. Dan ia sudah tentulah diperolehi secara �menang tanpa bertanding� dan ejekan �monyet� dipermodalkan untuk bertatih dalam politik.
Sementara anak menantu sibuk menjadikan monyet sebagai modal, bapa mertua pula sibuk mahu menjadikan insan sebagai modal. Tidak pasti ayat Quran atau hadis yang mana yang membenarkan seseorang insan mempermodalkan insan yang lain bagi sesuatu kepentingan. Malah tidak ada satu ayat pun dalam Surah al-Insan yang menyebut perihal modal insan ini. Justeru kita lalu bertanya apalah modal insan ini jalan yang diredhai Allah swt.
Firman Allah, mahfumnya: Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepada insan (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepada insan) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka). (al-Insan: 3)
Antara jalan yang benar ialah mengakui diri bahawa kita ini adalah hamba Allah dan bukannya memodalkan diri untuk menjadi hamba kepada manusia.
Contoh perhambaan terhadap sesama manusia ini banyak. Antara yang paling ketara hari ini ialah perhambaan kemampuan intelektual bagi menyokong perkara yang batil dan mungkar dan perhambaan jawatan sehingga jelas bertentangan dengan prinsip Islam, prinsip kemanusiaan dan kebenaran hakiki dan malahan sehingga menipu diri, menipu masyarakat dan menipu Tuhan hanya demi menjaga kedudukan dan jawatan serta mempertahankan kedudukan manusia-manusia yang telah mempergunakan mereka sebagai modal insan.
Sejak dilantik sebagai PM, istilah favourite Abdullah ialah �modal insan�. Istilah ini menjadi begitu popular di kalangan semua agensi kerajaan (termasuk universiti awam) seolah-olah sebelum kemunculan beliau selaku Perdana Menteri, ekonomi Malaysia tidak pernah dibangunkan menerusi aktiviti ekonomi yang dilakukan oleh manusia.
Tidak cukup dengan itu, diwujudkan pula sebuah program TV Astro, �Modal Insan� yang dihoskan oleh Rosyam Noor. Tidak diketahui apa motif sebenar Astro mewujudkan program tersebut. Apakah ia mahu menjelaskan tentang modal insan dari perspektif ekonomi (Barat) atau mahu memperjelaskan �insan� dari sudut tanggungjawab kifayah?
Dari apa yang dilihat, ia lebih memperlihatkan pelaksanaan tanggungjawab di antara seorang insan dengan insan yang lain. Tapi apakah pelaksanaan tersebut memerlukan modal (dalam konteks program berkenaan)?
Apa yang dapat dilihat melalui program Astro ini ialah ia lebih mengelirukan. Dalam satu rancangan berkenaan, Rosyam berkata: �Adakah kita sebagai masyarakat yang mempunyai seorang�yang dinamakan seorang insan, yakni seorang modal,ataupun seorang module akan membiarkan mereka hidup sebegini?�
Nampaknya dari seorang insan yang menjadi hamba Allah, kita sudah dianggap pula sebagai modal. Apakah dari modal kita mahu pula dianggap sebagai module?
Sebagaimana yang kita maklum, hanya ada satu golongan insan sahaja yang mempermodalkan keinsanan fizikalnya untuk tujuan mendapatkan wang? Apakah di dalam konteks Islam Hadhari kita juga perlu mengikut konsep permodalan insan seperti ini?
Minggu lalu, di Dialog Antarabangsa Langkawi, istilah modal insan Abdullah mendapat sentuhan global apabila ia diperpanjangkan kepada 500 perserta dari 40 buah negara, kebanyakannya negara miskin dan negara membangun seperti Malaysia.
Dalam ucapan perasmiannya Abdullah menyebut: �Dalam tempoh dua hari di Langkawi kita perlu memberi tumpuan terhadap usaha mencari penyelesaian terhadap masalah kemiskinan ini� Kita mesti membangunkan modal insan berkualiti yang sentiasa mahu mencapai dan mengekalkan kecemerlangan.�
Bunyinya agak bersungguh-sungguh. Namun apabila kita melihat kerajaan enggan melayan permohonan supaya digubal satu undang-undang mengenai paras gaji minima, maka kita mula melihat satu lagi episod di mana apa yang dituturkan tidak semestinya apa yang akan dilaksanakan.
Menurut laporan, sebanyak lebih daripada 1.4 juta pekerja di negara kita yang menerima gaji kurang dari RM600 sebulan. Apalah sangat yang dapat dilakukan dengan wang sebanyak itu?
Tanpa adanya satu undang-undang yang menetapkan paras gaji minima bagi pekerja di negara ini bermakna majikan (yang juga boleh dianggap sebagai kaum kapitalis dalam ruang lingkup �modal insan� Abdullah) menetapkan gaji dengan sewenang-wenangnya walaupun ia tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan oleh pekerja sehingga menimbulkan suasana pekerjaan menjadi perhambaan.
Apakah ini modal insan yang dimaksudkan? Peras tenaga insan sedapat mana yang mungkin kerana insan adalah tidak lebih daripada modal seperti juga tanah dan wang yang perlu dimaksimakan penggunaannya bagi memaksimakan golongan kapitalis (Adam Smith� The Wealth of Nations, 1776)?
Bagaimana pula dengan modal insaf?
Sila baca petikan khutbah Jumaat (9 Mac 2007) di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh:
Ekonomi Islam tidak meletakkan keuntungan semata-mata sebagai matlamat sebaliknya turut menjaga kebajikan dan hak orang lain.
Suatu peristiwa untuk renungan bersama di mana ketika Damsyik, Syria diancam serangan tentera Tartar maka pemerintah memutuskan untuk mengenakan cukai tambahan ke atas rakyat bagi membiayai peperangan.
Di tengah keresahan rakyat yang tidak mampu membayar cukai itu maka tampillah Izzuddin Abdul Salam yang terkenal dengan gelaran Sultan al-Ulama� menentang perkara itu dan meminta agar dijual terlebih dahulu kesemua barangan mewah milik pemerintah dan milik peribadi pegawai pemerintah sehingga tidak ada lagi perbezaan antara pemerintah dan rakyat.
Sesudah itu barulah boleh dikutip cukai jika kewangan masih tidak mencukupi untuk membiayai peperangan itu.
Inilah ia keindahan dan keadilan Islam yang menekankan susah dan senangnya sesebuah negara merupakan tanggungjawab bersama antara pemimpin dan rakyat bukannya ketika negara senang hanya sesetengah golongan yang menikmatinya tetapi apabila ditimpa kesusahan maka hanya rakyat yang menanggungnya.

No comments:

Post a Comment